20110119

Peringatan Buat Hati 1


Berfirman Allah S.W.T yang bermaksud :

" Barangsiapa yang berpagi-pagian dalam keadaan berdukacita terhadap dunia, tidak akan bertambah dekat dia kepada Allah melainkan bertambah jauh. Tidak akan bertambah di dunia melainkan keletihan. Tidak akan bertambah di akhirat melainkan kepayahan. Allah akan mencampakkan rasa dukacita yang berterusan, kesibukan yang tiada kerehatan, kefakiran yang tidak  memperoleh kekayaan dan angan-angan yang memanjang ke dalam hatinya "   ~Petikan hadis qudsi, kitab Imam Ghazali, Al-Mawa'iz Fil Ahadis Al-Qudsiah~

Begitulah kita, sering saja bangun dari tidur lalu fikiran terus pusing memikirkan hal dunia tanpa dahulu kita merasa bersyukur kepada Ilahi. Ya, mungkin kita membaca doa bangun tidur namun hayatikah kita akan doa tersebut? Lupakah kita kepada tuan kita yang sentiasa menunggu hambanya untuk mengingati dan kembali kepadaNya?

Bangun dari katil terus menggeliat dengan muka yang mengantuk dan hati yang masih ingin lena tidur. Di dalam tandas, fikiran sudah terbang mengesan apa yang hendak dilakukan hari ini, kerja sekolah yang belum selesai, barang-barang keperluan yang perlu dibeli, tugasan dari pejabat dan lain-lain. Sedangkan.....Dia senantiasa memerhati kita, mengalir rezkiNya kepada kita dan menunggu kita menghadapnya. Tanpa sedar kita telah lupa padaNya dan berdukacita terhadap dunia.

Ayuh kita putar pandangan hidup (world view) kita seratus peratus. Lihatlah kepada mereka yang memiliki hati yang tenang (mutmainnah) dan bahagia (sakinah) serta berjaya. Mereka ini akan berbahagia dalam berpagi-pagian sepanjang hidup mereka. Senyum terukir selalu di bibir, syukur sentiasa tersemat di dada, berminda positif dalam kesusahan, tenang dalam kepayahan dan sentiasa membina dan mengejar peluang. Mereka yang bijaksana ialah orang yang selalu melihat peluang dalam setiap masalah bukannya melihat masalah dalam setiap peluang.

Mengapa begini? Kerana mereka ada keyakinan dan kepercayaan bukan pada orang lain tetapi pada diri mereka sendiri dan paling penting terhadap janji Allah kepada mereka tentang rezeki mereka dan percaya terhadap anugerah Ilahi yang ada pada diri mereka. Keajaiban akan sentiasa mengiringi perkara yang dilakukan dengan penuh yakin, gigih, ikhlas dan berserah kepadaNya. Ya, inilah yang dilakukan oleh para anbiya', para ulama', para cendikiawan, para bijak pandai dan orang yang berjaya dalam hidup mereka.

Kejarlah Tuhan Yang Esa Allah S.W.T pasti dunia akan mengejar kita. Hidup beserta dunia tanpa Ilahi dalam hati ibarat tin minuman yang cantik tetapi kosong tanpa isi. Tidak boleh diminum isinya hanya indah ditatap. Jadilah kita manusia yang berguna bagi keluarga, sahabat, masyarakat,agama,negara dan paling penting berguna sebagai hamba kepada tuan kita yang senantiasa menyayangi kita iaitu Allah S.W.T.

Ayuh semua, kita bangun dari tidur dengan penuh ingatan dan syukur pada Ilahi. Ayuh juga kita melangkah keluar menghadap dunia dengan ceria dan tenang. Ayuh!!! Larilah menuju Tuhanmu bukan lari dariNya menuju dunia seisinya!

yang e-claz,
bdak kecik,
same2 jadi ingatan kita semua,

No comments:

Post a Comment